Sunday 26 January 2014

PASUKAN ABRAHAH YANG KECUNDANG

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : http://50watts.com/



Pasukan Abrahah


بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





Mekah merupakan tempat berbarakah bagi umat Islam. Kunjungan manusia ke tempat yang paling tengah di bumi ini, berterusan sepanjang tahun. Akan bertambah bilangan penziarahnya terutama pada musim Haji dan pada bulan Ramadhan almubarak.


Terdapat banyak sejarah yang melibatkan qiblat umat Islam ini. Antaranya adalah salah satu peristiwa yang berlaku 50 hari sebelum kelahiran utusan terakhir, Nabi Muhammad saw. Tatkala kisah penuh bersejarah ini tertulis di kitab-kitab sejarah, al-Quran juga merakamkan kejadian ini di juzuk yang ke 30.


Lima ayat daripada surah al-Fil sudah menunjukkan bahawa kisah ini perlu diceritakan dan dikisahkan agar ia tidak dilupa dan dipinggirkan. Kisah ini sangat menggemparkan kerajaan Rom dan Parsi ketika itu. Abrahah merupakan satu nama pemimpin ketika itu sangat benci dan irihati kepada Kaabah yang menjadi tumpuan ramai manusia ketika itu.

Abrahah telah membina sebuah tempat yang disaluti dengan emas dengan harapan manusia akan mengalihkan perhatian mereka daripada Kaabah ke bangunan yang dibinanya. Malang sekali harapannya meleset.

Kemuncak kebencian Abrahah ialah apabila seseorang telah menyelinap masuk dan melumurkan kotoran pada tempat yang telah dibinanya. Akhirnya Abrahah telah mengerahkan 6 ribu tentera dan 9 atau 13 ekor gajah menuju ke Mekah.

Abrahah menaiki gajah yang paling besar dan berada di hadapan tentera-tenteranya. Bergerak dengan penuh sombong dan yakin akan menghancurkan Kaabah.

Sebelum tiba ke Mekah. Abrahah dan tenteranya telahpun merampas harta penduduk Mekah antaranya 200 ekor unta kepunyaan Datuk Nabi Muhammad saw Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib telah datang menemui Abrahah dan meminta semula unta yang telah dirampas. Terkejut Abrahah kerana Abdul Mutallib hanya datang untuk mengambil unta dan tidak merayu agar tidak menghancurkan Kaabah.

Abrahah bertambah marah kerana Abdul Mutallib berkata, "Aku adalah tuan kepada unta ini dan menjadi tanggungjawab aku untuk menjaganya, sedangkan Kaabah akan dipelihara oleh Allah."

Selepas mendapatkan untanya Abdul Mutallib kembali bersama penduduk mekah ke lereng-lereng bukit. Ketika itu Mekah telah kosong kerana penduduk Mekah telah keluar untuk menyelamatkan diri.

Apa yang menghairankan ialah ketika Abrahah sampai di satu tempat gajahnya berhenti dan duduk. Tidak mahu bergerak ke Mekah. Jika di bawa mengarah ke tempat selain Mekah gajahnya akan patuh tetapi untuk menuju ke Mekah mereka enggan.

Ketika sedang bingung mereka mendapati burung-burung yang datang dan berbunyi dengan kuat menyebabkan Abrahah dan tenteranya menutup telinga. Didapati burung-burung tersebut membawa tiga biji batu. Satu di paruh dan dua biji lagi di kedua belah kakinya.

Lalu mereka dilemparkan dengan batu yang panas tersebut menyebabkan mereka lari bertempiaran. Bagi yang kena batu tersebut badan mereka jadi berlubang-lubang seperti daun yang dimakan ulat.

Ada yang mati kerana terpijak oleh rakan mereka sendiri. Abrahah berjaya menyelamatkan diri daripada mati dan kembali ke tempat jajahannya. Dia akhirnya ditimpa penyakit luluh tulang sendinya dan akhirnya mati.

Begitulah kisah Abrahahh dan tenteranya yang tercatit di dalam al-Quran. Menunjukkan pengajarannya sangat besar sehingga tercatat di dalam kitab nan agung ini. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

Ingatlah tentera-tentera Allah bukan sahaja manusia bahkan Allah swt boleh memilih sesiapa sahaja daripada makhluknya untuk menjadi tentera yang gagah dan hebat.

Kelebihan Mempelajari Al-quran

Tuesday 21 January 2014

Pertama Kali Menjejakkan Kaki Ke Bumi Ambiya'

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : Google

Pertama Kali Menjejakkan Kaki Ke Bumi Ambiyak


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Seingat saya sudah sembilan tahun berlalu sejak kali pertama menjejakkan kaki ke bumi ambiyak. Walaupun ketika hajat hendak pergi terdapat beberapa perkara yang agak menghalang tetapi kehendak Allah swt mengatasi segala-galanya.

Ketika saya menulis tentang ini, bayangan perjalanan pertama kali ketika bersiap sedia untuk berangkat masih jelas kelihatan. Masih boleh mengingati saat hendak meninggalkan ibu dan ayah serta keluarga hanya untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu di bumi ambiyak.

Kursus Intensif Bahasa Arab di bawah program Yayasan Pahang selama lebih kurang 6 bulan banyak membantu dari segi persediaan sebelum berangkat ke bumi ambiyak.

Perasaan bercampur baur antara sedih ingin meninggalkan ibu dan ayah dan perasaan keterujaan untuk menjejakkan kaki ke bumi ambiyak membuatkan titisan air mata mengalir ketika itu.

Perjalanan yang mengambil masa selama 20 jam lebih kurang memberikan pengalaman yang sangat hebat. Melihat rakan-rakan ketika di KLIA berpisah daripada keluarga dengan tujuan yang sama memberi keyakinan bahawa mereka berkongsi perasaan yang sama.

Kami menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Emirates yang tidak terus terbang daripada KLIA menuju ke Kaherah. Kami berhenti transit selama 8 jam di Dubai. Apabila melangkah masuk ke dalam kapal terbang perasaan sedih hilang seketika menggantikan perasaan keterujaan dan gembira. Tidak sabar rasanya hendak sampai ke bumi ambiyak. Bumi yang selama ini sentiasa didengari kisah tauladan Kisah Nabi Musa dan Nabi Harun alaihimassalam berdakwah kepada Firaun. Raja yang zalim.

Kisah Nabi Yusof yang sangat kacak. Keterujaan yang dibawa terbang bersama di atas langit yang biru bersama dengan sahabat-sahabat yang kini telah menjadi orang-orang yang hebat.

Selepas mengharungi perjalanan yang panjang akhirnya kami tiba di Kaherah. Masih jelas di ingatan saya ketika pertama kali berbicara dengan Arab Mesir. Cuba mengaplikasikan bahasa arab yang telah dipelajari ketika kursus tempoh hari. Perasaan pelik timbul kerana saya tidak memahami bahasa yang dituturkan oleh pakcik arab tersebut.

Kami sampai ketika itu waktu malam. Tidak nampak gambaran jelas ketika itu. Tetapi kami diraikan oleh pelajar-pelajar Mesir yang mendahului kami berada di Mesir.

Kami dikumpulkan di satu tempat untuk diberikan penerangan dan taklimat sebagai persediaan sebenar kami di bumi ambiyak ini. Segala nasihat, pengalaman dan ilmu yang dikongsikan sangat berguan kepada kami.

Apa yang penting adalah kemahiran berbahasa. Walaupun bahasa yang digunakan bahasa pasar atau bahasa tidak rasmi, tetapi melalu kursus yang disertai sememangnya banyak membantu terutamanya dalam pertuturan dan pergaulan dengan penduduk setempat.

Mesir daku merinduimu. Rindu bau udara yang telah mengukirkan pengalaman di dalam hidup ini. Semoga bertemu lagi. Rindu untuk menghilangkan dahaga dari air nil di tepi-tepi jalan antara bangunan berwarna coklat.


Kelebihan Mempelajari Al-quran

KELEBIHAN MEMPELAJARI AL-QURAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

GAMBAR : GOOGLE

Kelebihan Mempelajari Alquran



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Alhamdulillah. Telah lama rasanya tidak menulis di blog ini. Pada hari ini saya ingin menyentuh tentang salah satu kelebihan mempelajari al-Quran.

Tidak syak lagi al-Quran yang merupakan mukjizat teragung ini akan kekal sehingga hari kiamat. Apa sahaja yang berkaitan dengan al-Quran pasti mempunyai kelebihan-kelebihan yang pelbagai.

Pahala, kelebihan, darjat akan bertambah dengan sebab al-Quran. Antara perkara yang dilihat dan beroleh pahala sebagaimana tersebut di dalam hadith

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” – (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan “Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud).

Salah satu lagi kelebihan yang dikurniakan apabila membaca al-Quran ialah

Diriwayatkan hadith daripada Abi Zarr (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah sollollahualaihi wasallam kepada aku: ‘Wahai Aba Zarr! Nescaya sungguh berpagi-pagi engkau belajar satu ayat daripada Kitab Allah azza wajal (yakni, al-Quran, atau ilmu al-Quran), lebih baik bagi engkau dari jika engkau bersolat sunat 100 rakaat. Dan nescaya berpagi-pagi engkau belajar satu bab daripada ilmu (al-Hadith), (sama ada) engkau beramal atau tidak beramal dengannya, lebih baik dari jika engkau bersolat sunat 1,000 rakaat.’ [Hadith sahih ibnu Majah]

Dengan mempelajari satu daripada ayat Allah swt, seseorang memperolehi kelebihan melebihi solat sunat 100 rakaat. Untuk solat sunat lapan rakaat sahaja sudah agak berat. Memang berat kecuali bagi orang yang khusyuk. Bagi mereka yang memang sudah dapat sampai pada kekhuyukan solat, 1000 rakaat pun terasa ringan.

Tetapi bagi kita yang tidak sampai pada taraf itu, kita boleh mengambil kelebihan daripada al-Quran.
Belajar satu daripada ayat al-Quran mendapat kelebihan melebihi 100 solat sunat. Jika belajar dua ayat atau sepuluh ayat maka pahala kebaikan yang disediakan oleh Allah swt sudah pasti berganda-ganda. Inilah kelebihan al-Quran yang merupakan mukjizat agung ini.

Semoga bermanfaat

Kelebihan Mempelajari Al-quran